PENCEMARAN AIR DI MALAYSIA & GCED
1.0 PENDAHULUAN
Dalam usaha mengejar kemajuan dan
teknologi sesebuah negara dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk, maka
kegiatan ekonomi dan projek-projek pembangunan sesebuah negara mestilah
ditingkatkan dari semasa ke semasa. Projek-projek yang pesat membangun boleh
menyebabkan pelbagai masalah berkaitan dengan alam sekitar. Menurut Zaini Ujang
(2000), alam sekitar ialah gabungan keadaan luaran atau eksternal yang
mempengaruhi kehidupan setiap organisma. Proses pembangunan yang semakin rancak
ini mengakibatkan berlakunya pencemaran alam sekitar sehingga menggugat
kesihatan, keselamatan atau kebajikan manusia dan menjejaskan sumber hidupan
yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2003), pencemaran adalah
suatu perbuatan yang mencemarkan atau mengotorkan alam sekeliling dengan sampah
sarap. Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti
Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan
sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat
fizik,kimia,biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling
dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan
berfaedah, yang menimbulkan sesuatu.
Pencemaran alam sekitar adalah merujuk kepada pencemaran udara,
pencemaran air, pencemaran laut, pencemaran tanah, pencemaran radioaktif,
pencemaran bunyi, pencemaran bau, pembakaran hutan, dan sebagainya. Di
Malaysia, kesedaran masyarakat terhadap kemusnahan dan pencemaran alam sekitar
masih lagi di tahap rendah dan membimbangkan. Masyarakat di Malaysia seringkali
dilihat mengabaikan aspek-aspek kebersihan terutama yang melibatkan pembuangan
sampah di merata-rata tempat khususnya di dalam sungai.
Tugasan ini akan membincangkan bagaimana Pendidikan Kewarganegaraan
Global (Global Citizenship Education {GCED}) dapat memberi manfaat kepada
masyarakat dalam menyelesaikan isu-isu alam sekitar khususnya di Malaysia.
Objektif utama dalam perbincangan ini ialah untuk memberi kemahiran menggunakan dimensi dalam GCED iaitu
pendidikan kognitif, sosio emosi, dan tingahlaku bagi menyelesaikan masalah
berkaitan alam sekitar. Selain itu, tugasan ini akan menghuraikan sebab-sebab
berlakunya pencemaran dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Penulisan ini juga
memerlukan huraian menggunakan kemahiran abad ke-21 bagi meningkatkan
pengetahuan dalam pencarian maklumat untuk menyiapkan tugasan.
2.0 ISI KANDUNGAN
A) ISU ALAM SEKITAR YANG
DIPILIH IALAH PENCEMARAN AIR
Air merupakan sumber utama kepada semua hidupan terutama manusia.
Sumber air yang penting adalah seperti sungai, tasik dan laut. Melalui sumber
itu, manusia dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna kerana manusia dapat
minum, mandi, mendapat bekalan makan, menyucikan pakaian, bercucuk tanam dan
sebagainya. Di peringkat tempatan, sungai
merupakan pembekal sumber makanan utama kepada manusia. Sejak
kebelakangan ini, sungai-sungai di Malaysia sudah dicemari oleh pelbagai sisa
dan bahan buangan sehingga menyebabkan air sungai menjadi hitam, keruh dan
berbau busuk.
Menurut Jasiman Ahmad (1996), pencemaran air berlaku apabila
perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai
dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi
biologi, kimia dan fizik. Sesetengah anggota masyarakat telah mengambil jalan
mudah dengan membuang pelbagai sisa pepejal ke dalam sungai. Mereka dengan
tanpa perasaan bersalah dan dengan sengaja menjadikan sungai sebagai tempat
mereka melupuskan sampah. Terdapat juga kilang-kilang yang membuang sisa
kumbahan terus ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu. Pengusaha kilang
telah bertindak demikian kerana ingin menjimatkan kos operasi kilang mereka.
Akibat daripada sisa kumbahan yang mengandungi pelbagai toksik dan bahan kimia
yang dialirkan ke dalam sungai, sudah tentu akan mengancam dan menjejaskan
flora dan fauna sesebuah sungai.
Saya memilih isu pencemaran air kerana isu ini semakin meruncing
sejak akhir-akhir ini. Masyarakat seharusnya perlu menyedari tentang pentingnya
menjaga sumber air daripada tercemar agar tidak mengganggu ekosistem alam
semula jadi. Saya juga memilih isu ini kerana wujudnya perasaan tanggungjawab
dalam diri untuk sentiasa menjaga sungai supaya sentiasa dalam keadaan bersih
dan jernih. Ia menjadikan saya lebih peka dan prihatin serta memupuk sikap yang
positif dalam diri saya. Selain itu, saya mendapat ilmu dan kemahiran dalam
menangani isu pencemaran air serta menjadikan saya seorang yang lebih
menghargai khazanah yang tidak ternilai ini.
B. i) LINK VIDEO GCED YANG
DIPILIH :
https://www.youtube.com/watch?v=KuKzq9EDt-0
Link video di atas memaparkan tentang GCED. Menurut
dokumen Perundingan Teknikal mengenai Pendidikan Kewarganegaraan Global 2013,
GCED adalah transformatif, memberikan pelajar peluang dan kecekapan untuk
menyedari hak dan kewajipan mereka untuk membangunkan dunia yang lebih baik
pada masa hadapan (http://unesdoc.unesco.org/images//0022/002241/224115e.pdf). GCED menekankan pembelajaran melalui pembelajaran
transformatif, pembangunan lestari dan juga pendidikan berkaitan keamanan. GCED
akan menjadikan seseorang pelajar itu mempunyai kemahiran untuk berfikir, berkongsi
dan memberi tindak balas terhadap perkembangan sekeliling agar dapat mewujudkan
dunia yang lebih adil, harmoni, terangkum (inklusif) dan lestari
(Harvinder.et.al, 2019).
Berdasarkan video tersebut, GCED bertujuan untuk
menyemai rasa hormat terhadap semua, mewujudkan rasa kepunyaan sesama manusia
dan membantu masyarakat menjadi warganegara global yang mempunyai
tanggungjawab. Terdapat 3 dimensi konseptual GCED iaitu kemahiran kognitif,
sosio-emosi dan tingkah laku.
Kemahiran pertama dalam GCED ialah kognitif.
Kemahiran kognitif ialah kemahiran untuk mendapatkan ilmu pengetahuan,
pemahaman, dan pemikiran yang kritis tentang isu-isu global, serantau,
kebangsaan dan tempatan serta kesalinghubungan dan kesalingbergantungan antara
pelbagai negara dan penduduk. Sebagai contoh, isu pembakaran hutan yang berlaku
di Negara Indonesia pada tahun 2019. Pembakaran hutan tersebut telah
mengakibatkan berlakunya jerebu sehingga ke Negara Malaysia dan memusnahkan
habitat hidupan liar dan juga mengancam nyawa manusia di sekitarnya kerana
kualiti udara yang terjejas. Kejadian tersebut adalah berpunca daripada
aktiviti pembakaran hutan secara terbuka bagi membersihkan tanah untuk aktiviti
perladangan dan pertanian. Dalam kemahian ini, pelajar dapat mengambil tahu
punca-punca berlakunya pembakaran hutan tersebut serta kesannya terhadap alam
sekitar. Dalam isu ini, pelajar juga boleh memahami dengan jelas bahawa
pembakaran hutan yang berlaku itu akan memberi kesan yang buruk bukan hanya di
negara tersebut bahkan juga di negara-negara yang berhampiran seperti Malaysia
dan Singapura.
Kemahiran kedua pula ialah sosio-emosi. Kemahiran
sosio-emosi merupakan kemahiran untuk memiliki rasa kepunyaan sesama manusia,
berkongsi nilai dan tanggungjawab, empati, solidariti, dan menghormati
perbezaan dan kepelbagaian. Sumber yang ada di bumi ini perlulah dimanfaatkan
dengan sebaiknya bagi membolehkan generasi akan datang hidup dalam persekitaran
yang berkualiti. Setiap anggota masyarakat hendaklah mempunyai tanggungjawab
memelihara dan memulihara alam sekitar. Tabiat membuang sampah merata-rata,
membuang sisa buangan termasuk bahan kimia secara terus ke dalam sungai atau
laut, mengeluarkan asap dari kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan dan bukit
secara besar-besaran dan bermacam-macam lagi akan memberikan kesan yang teruk
kepada alam sekitar untuk jangka masa akan datang seperti peningkatan suhu
bumi, kepupusan flora dan fauna, pencemaran air dan sebagainya. Sikap
bertanggungjawab terhadap alam sekitar perlu dipupuk sejak dari kecil agar
timbul perasaan sayang dan cinta akan alam sekitar.
Manakala kemahiran tingkah laku pula merupakan
kemahiran untuk bertindak secara berkesan dan bertanggungjawab di peringkat
tempatan, kebangsaan, dan global demi mencapai dunia yang aman dan lestari.
Sebagai sebuah anggota masyarakat, kewajipan menjaga alam sekitar terletak
sepenuhnya ditangan kita. Contohnya dalam isu perumahan, kita boleh mendesak
para pemaju dan syarikat pembinaan supaya lebih mesra alam dengan tidak menebang
semua pokok di kawasan yang diterokai. Selain itu, setiap individu perlulah
menjaga kebersihan alam sekitar kerana ia boleh memberikan kesan bukan sahaja
kepada alam sekitar, bahkan juga kepada sektor pelancongan di sesebuah negara.
Masyarakat perlu membuang sikap pentingkan diri masing-masing untuk sama-sama
melindungi alam ini daripada melakukan pencemaran dan pemusnahan terhadap alam
sekitar secara berterusan. Sekiranya masyarakat sentiasa memainkan peranan dan
bekerjasama dalam menyelamatkan alam sekitar, sudah pasti alam sekitar ini akan
lebih selamat dan harmoni.
ii) LINK VIDEO PENCEMARAN
AIR :
https://www.youtube.com/watch?v=KUyluAUfxko
Air merupakan sumber utama khususnya dalam kehidupan manusia. Sumber
air yang berkualiti sangat penting kepada manusia dalam menjalankan aktiviti
harian seperti aktiviti pertanian, perikanan, penternakan, perindustrian dan
sebagainya. Namun, sikap yang tidak bertanggungjawab dikalangan individu dan
masyarakat telah menyebabkan sumber air semakin tercemar.
Antara punca berlakunya pencemaran air adalah pembuangan sampah
sarap dari kawasan perumahan dan juga
perindustrian sama ada ke dalam sungai, tasik, dan laut. Pembuangan bahan-bahan
tersebut yang semakin tidak terkawal akan menjadikan sifat air berubah menjadi
keruh, hitam, berbau busuk dan menyebabkan hidupan didalamnya terjejas. Sebagai
contoh, pada tahun 2019, Negara kita Malaysia telah dikejutkan dengan
pencemaran air yang disebabkan pembuangan sisa kimia ke dalam sungai Kim Kim di
Pasir Gudang, Johor. Insiden itu telah menyebabkan sebahagian penduduk yang
tinggal di kawasan sungai tersebut jatuh sakit dan mengalami kesukaran bernafas
selepas menghirup bau yang tidak menyenangkan. Pembuangan sisa kimia daripada
pengusaha kilang ini di anggap tidak bertanggungjawab dan melanggar Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pencemaran air boleh memberikan kesan kepada kesihatan manusia.
Kandungan air yang tercemar oleh bahan kimia seperti sodium, nitrat, merkuri dan
sebaginya akan memudharatkan kesihatan manusia. Sebagai contoh, terdapat
penyakit yang berjangkit melalui air minuman dan air mandian seperti disentri,
salmonela, cryptosporidium dan hepatitis. Selain itu, berlaku juga tumpahan
minyak di kawasan perairan dan lautan yang akan membentuk lapisan minyak di
atas permukaan air dan akan mengancam hidupan dan organisma laut. Hidupan laut
seperti ikan, sotong, udang, ketam dan sebagainya akan mati dan seterusnya
mendorong kepada kepupusan hidupan laut.
Bagi meningkatkan kesedaran anggota masyarakat, media massa dan
elektronik perlu berperanan memberi maklumat dan ilmu pengetahuan sama ada
melalui televisyen, akhbar, dan sebagainya tentang kepentingan air dalam
kehidupan seharian. Pihak kerajaan juga perlu lebih bertanggungjawab dan
memperketatkan lagi penguatkuasaan undang-undang supaya mereka yang bersalah
mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahannya. Kita sebagai sebahagian
daripada anggota masyarakat seharusnya menggunakan akal fikiran yang waras,
bertindak mengikut amalan yang murni, dan tidak mementingkan diri sendiri serta
mempunyai sikap cintakan alam sekitar demi kesejahteraan hidup.
C) TIGA DIMENSI KONSEP
UTAMA DALAM PENDIDIKAN GCED MEMBAWA MANFAAT KEPADA MASYARAKAT UNTUK
MENYELESAIKAN ISU ALAM SEKITAR
i) Pendidikan
Kewarganegaraan Global (GCED) dan Isu Alam Sekitar (Pencemaran Air).
Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) merupakan pendidikan untuk
membentuk setiap individu yang peka, memahami, dan dapat mengenal pasti sesuatu
perkara sama ada baik ataupun buruk. Dengan adanya pendidikan, ia dapat membawa
perubahan kepada masyarakat dalam memahami hubungan antara persekitaran manusia
dengan persekitaran fizikal. Kebolehan berinteraksi ini sangatlah berguna
kerana kedua-dua persekitaran ini saling berkaitan. Melalui pendidikan ini,
maka akan lahirlah manusia yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, sikap
prihatin, tanggungjawab, dan komitmen untuk bekerja secara individu dan
kolektif bagi menyelesaikan isu alam sekitar.
GCED semakin penting kerana timbulnya
pelbagai isu sama ada di peringkat tempatan mahupun global terutama di
negara-negara yang sedang pesat membangun. Maka, sistem pendidikan pada abad
ke-21 ini perlu melangkaui standart pendidikan tradisional yang hanya
menumpukan pembelajran di dalam kelas atau dewan kuliah sahaja. Walaupun
pembelajaran di dalam kelas banyak memberikan kita ilmu, namun ia belum
mencukupi. Pada abad ke-21 ini, kita sebagai warga global perlulah
mempraktikkan teori dan konsep yang di ajar dalam kehidupan kita. Pembangunan
lestari hendaklah diajar dengan menekankan kepada tindakan dan amalan dalam
kehidupan. Antara slogan berkaitan dengan pembangunan lestari yang pernah kita
dengar ialah seperti 3R iaitu Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula), Recycle
(kitar semula) untuk kita sama-sama menjaga alam sekitar. Pada masa kini,
slogan ini di tambah lagi kepada 5R dan 6R. 5R merujuk kepada Refuse (menolak),
Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula), Repurpose (guna untuk tujuan lain) dan
Recycle (kitar semula). Manakala untuk 6R Reduce (kurangkan), Rethink (fikir
semula), Refuse (menolak), Recycle (kitar semula), Reuse (guna semula) dan
Repair (perbaiki).
GCED sangat penting dalam membentuk sikap yang positif dan cintakan
alam sekitar. Kesedaran yang wujud dalam diri manusia akan menghasilkan
masyarakat yang mampu membuat keputusan kerana mereka sudah mempunyai kemahiran
dan pengalaman dalam menangani isu alam sekitar. Walaupun negara semakin
meningkat maju, namun dengan pengetahuan yang mereka ada dapat meneruskan
pembanguan dengan menggunakan sumber alam semulajadi secara terancang dan tidak
menjejaskan keseimbangan ekosistem. Perlu diingatkan, Segala tindakan dan
perbuatan di peringkat tempatan akan memberi kesan kepada diri kita,
masyarakat, dan juga kepada dunia. Oleh itu, kita hendaklah saling memahami dan
bertimbang rasa, serta mempersiapkan generasi baru untuk mencari kaedah
penyelesaian terhadap isu alam sekitar dan cabaran di dunia yang saling
berkait ini.
GCED menjadikan pelajar lebih
sensitif, proaktif, dan peka dalam menghadapi dunia realiti seperti isu
politik, sosial, budaya dan ekonomi. GCED juga dapat membantu kita untuk
melahirkan individu dan masyarakat yang mepunyai rasa empati kepada individu
lain dalam persekitaran yang dikongsi bersama ini. Sebagai contoh isu
pencemaran sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada tahun 2019 telah
menyebabkan masyarakat mula membuka mata terhadap sebarang kegiatan yang boleh
menjejaskan alam sekitar. Melalui GCED, masyarakat mula sedar, lebih empati,
belas kasihan, mengambil berat dan tidak
boleh berkompromi dengan apa-apa isu yang melibatkan alam sekitar sama ada di
peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
ii) Laman sesawang cara-cara untuk menyelesaikan isu pencemaran air:
i.
https://www.bharian.com.my/node/40615
ii.
http://alamsekitarbmp.blogspot.com/p/langkah-langkah-untuk-menjaga-alam.html
Air merupakan suatu unsur alam semula jadi ciptaan Tuhan Yang Maha
Agung. Ia adalah satu khazanah yang mesti kita jaga agar manfaatnya kepada
kehidupan makhluk di dunia ini sentiasa berkekalan bersih dan selamat. Di
Malaysia, masyarakat tempatan sangat bergantung kepada air khususnya air sungai
yang dapat memenuhi keperluan aktiviti harian manusia. Namun akibat daripada
sikap yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat, maka kita dapati
kebanyakan sungai di negara kita semakin terancam dan tercemar seperti yang dapat kita saksikan di Sungai Klang,
Sungai Gombak, Sungai Kim-Kim, Sungai Skudai dan lain-lain.
Terdapat beberapa cara yang dicadangkan dalam penulisan ini bagi
menyelesaikan isu pencemaran air. Yang pertama ialah melalui pendidikan.
Pendidikan secara formal atau tidak formal perlulah di serapkan melalui
organisasi seperti sekolah, universiti, pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, dan
sebagainya. Guru-guru metilah menyemai ke dalam jiwa pelajar perasaan cinta
akan alam semula jadi dengan mengadakan program seperti menubuhkan kelab alam sekitar,
projek mengindahkan taman sekolah, pertandingan syarahan berkaitan isu
pencemaran air, pertandingan mencipta slogan, ceramah tentang kepentingan
sungai dan pelbagai lagi aktiviti yang menjurus kepada kelestarian alam
sekitar. Manakala di peringkat yang lebih tinggi pula, pelajar didedahkan
dengan proses ekosistem alam semulajadi dan hubungannya dengan hidupan lain di
bumi ini. Selain itu, diperingkat kampung dan taman perumahan perlu diadakan
gotong-royong membersikan sungai-sungai yang berhampiran dengan kawasan mereka.
Oleh itu, sikap sayangkan alam sekitar seperti sungai akan dapat dipupuk dalam
diri pelajar dan masyarakat.
Langkah kedua bagi menangani isu pencemaran air ialah melalui kempen
alam sekitar seperti “cintailah sungai kita”, “sayangilah sungai kita” dan
sebagainya. Kempen kesedaran sivik seperti ini dapat memberi pendedahan kepada
masyarakat betapa pentingnya menjaga sumber air ini. Kempen-kempen ini boleh di
lakukan di media massa kerana mempunyai peranan yang sangat berkesan dalam memberi
maklumat dan laporan tentang isu-isu pencemaran sungai. Media massa seperti
televisyen, radio, surat khabar dapat menyalurkan maklumat dan membentuk
pemikiran dan tingkah laku masyarakat. Melalui media massa, masyarakat dapat
mengetahui tentang keadaan alam sekitar khususnya di kawasan perairan laut dan
sungai di setiap pelusuk dunia. Setiap isu yang berlaku pasti akan dilaporkan
oleh media massa dan ini membolehkan masyarakat terus mendapat maklumat dan
bertindak dengan cepat dan betul.
Langkah ketiga, kerajaan perlu memperketatkan dan menguatkuasakan
undang-undang berkaitan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar. Sebagai contoh,
kilang-kilang perusahaan yang beroperasi mestilah mematuhi piawaian kebersihan
yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kerajaan perlu mengambil tindakan
undang-undang terhadap kilang yang melakukan pelepasan asap kilang secara
terbuka dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut.
Pengusaha dan pemilik kilang yang menjalankan operasi hendaklah menyediakan tangki
takungan bawah tanah bagi mengatasi air buangan dari kilang mereka dilepaskan
terus ke dalam sungai atau longkang. Sistem tangki takungan bawah tanah dapat
merawat air dan sisa buangan menggunakan bioteknologi. Selain itu, pihak
kerajaan perlu melakukan pemasangan perangkap sampah pada tempat strategik di
sepanjang sistem perparitan untuk
memerangkap sampah sarap dan juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan.
Langkah seterusnya ialah, kerajaan perlu menjadikan sungai atau
pesisir pantai sebagai kawasan tarikan pelancong. Kerajaan atau syarikat swasta
boleh menyediakan kemudahan awam seperti
bot dan kayak sebagai tempat beriadah dan beristirehat. Sungai dan pantai yang
bersih serta indah akan menarik ramai pengunjung dan pelancong dan seterusnya
menimbulkan kesedaran dalam diri mereka terhadap kepentingan menjaga alam
sekitar. Ia bukan sahaja dapat menarik pelancong, tetapi yang lebih penting
ialah dapat mengekalkan ekosistem sungai dan laut supaya hidupan di kawasan
tersebut tidak terancam dan pupus.
3.0 KESIMPULAN
Pencemaran air memberi kesan sangat besar dalam kehidupan kita.
Akibat sikap kita yang alfa dan terleka, maka kita telah mengabaikan
tanggungjawab kita menjaga khazanah alam ini. Isu pencemaran air tidak
sepatutnya kita serahkan sepenuhnya kepada pihak yang bertanggungjawab
sedangkan kita sendiri hanya mengambil sikap sambil lewa dan lepas tangan serta
menuding jari menyalahkan pihak lain apabila berlakunya isu ini. Oleh yang
demikian, kita perlu bersama-sama mengukuhkan ikatan dan bertindak aktif bagi
memelihara sumber air seperti sungai, tasik, dan laut yang ada di negara kita.
Isu pencemaran air dapat diatasi dan dikurangkan dengan adanya
kesedaran di kalangan masyarakat melalui Pendidikan Kewarganegaraan Global atau
lebih dikenali sebagai GCED. Pendidikan ini telah menumpukan kepada tiga
dimensi konsep utama iaitu kemahiran kognitif, sosio-emosi dan tingkah laku.
GCED dapat membentuk masyarakat yang lebih peka, prihatin, dan sensitif
terhadap isu yang melibatkan alam sekitar. Melalui GCED, maka masyarakat akan
mempunyai pengetahuan tentang punca-punca berlakunya isu pencemaran air,
kesannya serta cara menanganinya.
Peruntukan undang-undang yang ada berkaitan dengan pencemaran air
seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dikuatkuasakan dengan lebih
berkesan lagi. Undang-undang yang digubal ini tidak akan memberikan apa-apa
makna sekiranya tidak ada penguatkuasaan yang tegas daripada pihak yang
berwajib. Oleh sebab itu, undang-undang yang berkaitan dengan pencemaran alam
sekitar ini masih boleh diperbaiki supaya lebih relevan dari semasa ke semasa.
RUJUKAN
/ REFERENSI
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Conference: Technical Consultation on Global Citizenship Education, Seoul. ( 2013). Sumber daripada http://unesdoc.unesco.org/images//0022/002241/224115e.pdf
Harvinder Kaur Dharam Singh, Raziana Che Aziz, Nantha Kumar Subramaniam, Majumin Hanum Abdul Samad, Wirawani Kamarulzaman, Noor Zuleika Zulkipli, …. Thirumeni Subramaniam (2019). OUMH1603 Kemahiran Belajar Untuk Abad Ke-21: Open Universiti Malaysia. Kuala Lumpur.
Jasimin Ahmad. (1996). Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemaran Alam: Eddiplex Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka. (Edisi keempat). (2003). Kuala Lumpur.
Iskandar Hasan Tan Abdullah. (13 Mac, 2015). Teknologi Hijau Tingkat Kualiti Hidup Pacu Ekonomi Negara. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/node/40615
Sufian bin Suhaimi. (2010). Langkah- langkah untuk menjaga alam sekitar. Sumber daripada http://alamsekitarbmp.blogspot.com/p/langkah-langkah-untuk-menjaga-alam.html
Zaini Ujang. (2000). Pengenalan Pencemaran Udara: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
https://www.youtube.com/watch?v=KuKzq9EDt-0
https://www.youtube.com/watch?v=KUyluAUfxko
Ulasan
Catat Ulasan