NUJUM PAK BELALANG
1.0 PENGENALAN
Tugasan ini akan membincangkan mengenai nilai-nilai jati diri dan
sumbangan tamadun melayu yang ada dalam sebuah filem yang dilakonkan oleh
seniman negara iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang berjudul Nujum Pak
Belalang dan membandingkan dengan nilai jati diri yang ada pada masyarakat hari
ini. Terlebih dahulu , saya dikehendaki menonton filem tersebut bagi mendapat
gambaran yang jelas mengenai aspek-aspek yang akan dikupas dalam tugasan ini.
Antara lain, isu yang akan di sentuh ialah berkaitan dengan nilai-nilai negatif
dan positif yang ada pada masyarakat di
zaman tersebut dan mengaitkannya dengan suasana masyarakat pada hari ini.
Tugasan ini adalah bertujuan untuk menilai kebolehan pelajar
membincangkan sumbangan dan hasil pencapaian tamadun melayu terhadap nilai dan
pandangan semesta masyarakatnya. Berdasarkan isi-isi penting yang dikemukakan
dalam tugasan ini, saya juga dikehendaki memindahkannya ke dalam bentuk yang
lebih mudah difahami menggunakan SmartArt yang terdapat pada microsoft word. Saya
perlu membuat pemilihan grafik yang menarik mengandungi tajuk dan isi penting
serta aliran antara isi dengan menggunakan warna, saiz, perkataan dan simbol
yang sesuai.
2.0 PERBANDINGAN NILAI
JATI DIRI FILEM NUJUM PAK BELALANG DAN MASYARAKAT PADA HARI INI
Cerita Nujum Pak Belalang merupakan cerita yang
mengisahkan kehidupan masyarakat melayu suatu ketika dahulu yang penuh dengan
nilai-nilai dan adat resam. Nujum Pak Belalang adalah sebuah cerita lucu yang
mempunyai banyak pengajaran dan pendidikan serta boleh dijadikan nasihat dan
panduan buat masyarakat pada hari ini.
Watak Pak Belalang merupakan watak utama dalam cerita ini yang mana dia seorang
penipu yang pandai menujum dan berubat lalu menjadi terkenal sebagai ahli nujum
di negerinya.
Antara nilai jati diri yang ada dalam filem
tersebut ialah:
i)
Kerjasama dan Perpaduan
Pada permulaan
cerita, Filem Nujum Pak Belalang memaparkan masyarakat kampung yang sedang
bergotong-royong dalam melakukan pekerjaan dalam bidang pertanian. Aktiviti
gotong-royong yang diamalkan ini sebagai
sebahagian daripada cara hidup atau adat resam masyarakat melayu pada ketika
itu. Manakala pada pengakhiran cerita pula ditonjolkan semangat perpaduan dalam
kalangan masyarakat apabila mereka sama-sama memberi sokongan terhadap
pertandingan teka teki di antara ahli nujum negara mereka iaitu Pak Belalang
dengan ahli nujum Negara Masai.
Kini, selepas
kemerdekaan, wujudya Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1973, gotong-royong
telah dimartabatkan sebagai salah satu nilai sosioekonomi kebangsaan dalam
usaha pembentukan bangsa Malaysia.
Semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
dapat merapatkan persefahaman antara
kaum itu, dan tidak dapat dinafikan bahawa gotong-royong mampu membentuk
masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab.
Semangat bantu-membantu
dan bekerjasama seperti membersihkan taman permainan, longkang, mahupun rumah
ibadat, akan menguatkan rasa kekitaan yang tulen. Antara kesan positif berdasarkan
amalan ini ialah dapat membantu menangani gejala-gejala buruk dalam masyarakat
seperti penagihan dadah dan kecurian, lebih-lebih lagi kerjasama yang
melibatkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
(JKK) berperanan sebagai menjaga kepentingan masyarakat setempat.
ii)
Ketaatan kepada sultan dan pemerintah
Pak Belalang amat
taat kepada pemimpinnya. Beliau akan menurut apa sahaja perintah Sultan. Dalam
filem ini terdapat banyak babak yang memaparkan
betapa patuhnya Pak Belalang terhadap pemimpin dan sultan di negerinya.
Sebagai contoh, apabila istana telah diceroboh oleh perompak yang telah
merompak barang-barang berharga iaitu seperti mahkota kebesaran sultan dan
kalung pusaka Puteri Si Bujur Sireh. Maka Sultan Shahrul Nizam telah menitahkan
Pak Belalang untuk menghadap baginda. Beliau terus bergegas menghadap sultan
walaupun dalam keadaan ketakutan dan bimbang akan di hukum oleh sultan.
Pak Belalang telah
melarikan diri ke dalam sebuah gua yang dikenali sebagi Gua Bukit Tunggal dan
bersembunyi di situ. Secara kebetulannya, perompak yang merompak harta istana
sedang menghitung hasil rompakan mereka untuk diagihkan sama rata di antara
mereka. Ketika itulah Pak Belalang mengambil kesempatan dengan menakutkan
mereka dan pak Belalang akhirnya berjaya mengembalikan semula harta yang
dirompak itu. Ini salah satu kisah yang membuktikan ketaatan seorang rakyat
terhadap sultan atau pemerintah.
Sejak akhir-akhir ini,
institusi beraja semakin berdepan dengan cabaran bagi memastikan ia sentiasa
relevan. Terdapat pelbagai tindakan daripada sebahagian pihak yang mempertikai
dan mencabar institusi ini dengan mempersendakan dan membuat cacian serta
penghinaan terhadap institusi beraja yang memainkan peranan penting dalam
pembinaan masyarakat melayu yang beragama Islam. Dengan teknologi media massa
pada hari ini, individu yang tidak bertanggungjawab membuat pelbagai kenyataan
berunsur penghinaan sama ada melalui facebook, whats up, twitter dan
sebagainya. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, tidak mustahil suatu hari nanti,
insitusi beraja akan dipandang lekeh dan beransur hilang.
3.0 ANALISIS SUMBANGAN
TAMADUN MELAYU DALAM FILEM NUJUM PAK BELALANG
i) Bidang pertahanan dan ketenteraan
Filem Nujum Pak Belalang memaparkan sebuah cerita yang
berlaku ni Negara Beringin Rendang yang
diketuai oleh Sultan Shahrul Nizam. Kerajaan Negara Beringin Rendang mempunyai
struktur organisasi ketenteraan yang sistematik. Contohnya, apabila Sultan
Masai dan pengikutnya yang menuju ke arah Negara Beringin Rendang dengan
menaiki perahu, maka para pengawal yang
menjaga sempadan negara itu telah melepaskan beberapa das tembakan daripada
meriam. Kemudian disusuli pula dengan
askar pemanah yang sentiasa bersiap sedia menghadapi musuh yang ingin
menyerang. Ini menunjukkan terdapatnya sistem pertahanan yang cekap terhadap pencerobohan
yang berlaku di kawasan perairan Negara Beringin Rendang. Manakala di Istana
Sultan Shahrul Nizam pula, terdapat ramai askar atau pengawal yang dilengkapi
senjata seperti lembing ,tombak, keris, dan pedang. Segala peralatan
ketenteraan ini membuktikan wujudnya sistem pertahanan negara yang kuat di
zaman itu.
ii) Bidang penulisan
Menurut Anas Ahmad (1982), sejarah penulisan masyarakat
melayu meliputi pelbagai bidang seperti ketatanegaraan, pemerintahan,
perubatan, undang-undang, agama Islam, ilmu falak dan petua. Berdasarkan Filem
Nujum Pak Belalang, terdapat sistem penulisan
yang menghubungkan antara pihak istana dengan rakyat. Sultan Shahrul
Nizam telah menitahkan perdana menterinya supaya mengumumkan tentang kehilangan
harta benda sultan kepada rakyat jelata. Pengumuman itu di baca oleh perdana
menteri dengan ayatnya yang berbunyi “ barangsiapa yang dapat mengembalikan
mahkota kebesaran baginda, kalung pusaka Tuan Puteri Si Bujur Sireh, orang
itulah yang akan mendapat sebesar-besar kurnia dari Duli Yang Maha Mulia
Baginda, Sultan Shahrul Nizam”. Hal ini membuktikan kewujudan sistem penulisan
yang diguna pakai pada zaman tersebut. Selain itu, terdapat perjanjian bertulis
yang dibuat oleh Sultan Shahrul Nizam dengan Sultan Masai mengenai pertandingan untuk menguji kepandaian antara
ahli nujum dari Negara Beringin Rendang dan ahli nujum dari Negara Masai.
Pertandingan ini mempertaruhkan sebuah negara yang mana sekiranya Negara
Beringin Rendang kalah, maka negara tersebut akan menjadi kepunyaan Sultan
Masai dan begitulah sebaliknya. Oleh yang demikian, sistem penulisan pada waktu
itu turut digunakan dalam perhubungan antara negara.
iii) Bidang kesenian
Antara kesenian masyarakat melayu yang paling popular
pada zaman tersebut ialah seni tari dan alat muzik. Masyarakat melayu sudah
pandai mencipta alatan bunyian untuk hiburan bagi tujuan tertentu. Pada ketika
itu, seni tari dan muzik dimainkan oleh golongan bangsawan untuk hiburan diraja
sahaja. Namun begitu, terdapat juga
muzik yang dimainkan untuk rakyat. Jelas di sini bahawa seni muzik pada zaman
dahulu mempunyai hierarki tersendiri.
Dalam filem Nujum Pak Belalang
terdapat satu lagu melayu yang popular iaitu lagu ketipang payung. Lagu
ketipang payung dinyayikan bersama dengan rentak tarian secara berkumpulan.
Antara alatan muzik yang digunakan dalam lagu ini ialah seperti tabla,
gamelan,kompang dan sebagainya. Lagu Ketipang Payung telah dinyanyikan di hadapan
Sultan Shahrul Nizam dan juga para pembesar di Negara Beringin Rendang.
Selain itu, kisah Nujum Pak Belalang
juga menceritakan tentang penggunaan alat muzik seperti rebana, gong, dan geduk
apabila terdapat pengumuman daripada pihak istana untuk
memberitahu tentang kehilangan harta benda kepunyaan Sultan. Oleh yang
demikian, masyarakat melayu pada ketika itu sudah terkenal dengan penghasilan
alat muzik seperti rebana, kompang,
gong, seruling, gamelan dan sebaginya yang penuh dengan nilai estetika. Menurut
Dr. Ghazali Darusalam (2019), seni lagu dan muzik masyarakat melayu mempunyai
keindahan melodi dan seni kata mengenai unsur alam, kemasyarakatan dan unsur
humanisme yang mampu meningkatkan imej dan keperibadian diri agar mendekati
nilai-nilai murni.
4.0 PENGAJARAN BERASASKAN
NILAI-NILAI NEGATIF DAN POSITIF
A. Nilai negatif
i) Penipuan
Berdasarkan filem Nujum Pak Belalang, kita dapat melihat
dengan jelas terdapatnya unsur penipuan sebagai suatu perlambangan dalam
masyarakat. Masyarakat melayu di dalam cerita Nujum Pak Belalang mempunyai ketaksuban dan kepercayaan terhadap seseorang
ahli nujum. Watak Pak Belalang sebagai
rakyat biasa yang hidup miskin kerana malas bekerja, akhirnya dengan mudah
ditabalkan oleh Sultan sebagai ahli nujum Kerajaan Beringin Rendang hanya
kerana dia bernasib baik. Perbuatan menipu yang dilakukan oleh Pak Belalang
tidak dapat dikesan dan diketahui oleh
sesiapa kecuali anaknya Belalang yang telah bersekongkol dengannya.
Masyarakat pada ketika itu terlalu percaya dan taksub terhadap ahli nujum
sehingga menjadikannya seorang ahli
nujum yang terkemuka di negerinya. Sikap
ketaksuban rakyat ini juga telah meletakkan unsur kepercayaan sepenuhnya
terhadap ahli nujum yang dikatakan mempunyai ilmu perbomohan sedangkan ia adalah suatu ilmu yang tidak wujud dalam filem ini. Walaupun Pak
Belalang seorang ahli nujum yang penipu, tetapi beliau menipu bukan untuk
kepentingan dirinya bahkan beliau menipu untuk menolong orang lain dengan penuh
keikhlasan.
Di zaman moden ini, unsur penipuan semakin berleluasa
tetapi dalam bentuk yang berlainan. Kebanyakan penipuan ini berpunca dari sikap
tamak haloba untuk memiliki kekayaan dengan cara yang mudah dan salah. Sebagai
contoh terdapat banyak syarikat yang menjalankan aktiviti skim cepat kaya dan
mereka menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat. Ramai
masyarakat kita pada hari ini yang telah tertipu dan mengalami kerugian
sehingga ada yang diisytiharkan muflis oleh bank negara.
ii) Pemalas dan
tidak bertanggungjawab
Pak Belalang merupakan seorang yang miskin. Pak Belalang
bukan sahaja miskin, tetapi seorang yang suka tidur dan pemalas. Pak Belalang
bertuah kerana mempunyai anak yang boleh diharapkan untuk mencari rezki bagi
mereka berdua. Anaknya bernama Belalang, walaupun masih kanak-kanak, namun dia
seorang yang rajin bekerja. Sikap Pak Belalang yang banyak menghabiskan masanya
dengan tidur sahaja telah menimbulkan rasa tidak senang hati dikalangan
penduduk kampungnya. Penduduk kampung sangat kasihan melihat anaknya Belalang
terpaksa bekerja keras bagi menampung keperluan keluarganya.
Sikap Pak Belalang yang tidak bertanggungjawab ini telah
menyebabkan hidup mereka berdua sangat susah sehinggakan di dapur rumah mereka
tidak mempunyai apa-apa makanan dan minuman. Sebagai contoh apabila ada dua
orang kampung yang bernama Kacong dan Kadok datang ke rumah mereka, Pak
Belalang telah menyuruh anaknya membuatkan kopi. Oleh kerana ketiadaan kopi,
Belalang telah mencampurkan arang daripada bontot kuali bersama dengan air kosong
dan di kacau sehingga menjadi hitam seperti air kopi. Lalu, air itu dihidangkan
kepada tetamu mereka. Pak Belalang ada menyatakan kepada tetamunya dengan ayat
“sedangkan ulat di dalam batu pun boleh makan, takkanlah kita yang di dalam
rumah tak dapat makan”. Ini menunjukkan betapa malasnya Pak Belalang yang
merupakan seorang ketua keluarga.
Sikap malas dan tidak bertanggungjawab dikalangan ketua
keluarga sentiasa ada sehingga ke hari ini. Bahkan lebih malang lagi, ada yang
sanggup mendera anak sendiri sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian.
Sikap ibu bapa atau ketua keluarga yang tidak mengambil berat terhadap
anak-anak menjadikan mereka kurang mendapat didikan dan terdedah kepada gejala
yang tidak sihat seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Ada juga ibu bapa yang
mengabaikan nafkah terhadap anak-anaknya serta membiarkan mereka hidup dengan
penuh kesempitan. Anak-anak ini terpaksa menjalani kehidupan dengan meminta
sedekah dan belas ihsan daripada masyarakat setempat. Oleh yang demikian, sikap
seperti ini akan melahirkan generasi yang kurang berkualiti dan mundur dalam
arus globalisasi yang kian mencabar ini.
iii) Meletakkan
masa depan negara di tangan orang lain
Ketua negara perlu mengambil sepenuh tanggungjawab ke
atas kedaulatan dan keselamatan tanah airnya agar tidak dijajah dan diceroboh
oleh pihak musuh. Namun dalam filem ini, nasib dan masa depan diletakkan kepada
orang lain. Perbualan seperti “Apa pendapat tuan hamba, adakah kita boleh
menang dengan 4 soalan tersebut”. Maka dijawab oleh Penasihat Sultan “Tidak
perlu risau , ahli nujum negara pasti tahu jawapannya”. Babak ini memaparkan
kisah dua orang sultan iaitu Sultan Shahrul Nizam dan Sultan Masai yang ingin
menguji kepandaian ahli nujum negara masing-masing. Baginda berdua telah mempertaruhkan
negara melalui pertandingan teka-teki tersebut. Negara Beringin Rendang yang
diperintah oleh Sultan Shahrul Nizam bernasib baik kerana ahli nujum Pak
Belalang telah berjaya menjawab kesemua soalan yang dikemukakan. Oleh yang
demikian, Negara Sultan Masai telah jatuh ke tangan Sultan Shahrul Nizam.
Di Malaysia, ketua Negara adalah Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong. Memandangkan di Malaysia mengamalkan sistem raja
berpelembagaan, maka kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja tertakluk kepada
perlembagaan. Menurut Abdul Aziz Deraman (2003), sistem raja berpelembagaan
ialah baginda tidak berkuasa mutlak, sebaliknya baginda bertindak atas nasihat
perdana menteri dan Jemaah menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia. Kebiasaannya pemimpin daripada sesebuah parti politik
atau parti komponen terkuat dalam Parlimen (Dewan Rakyat) akan dipilih dan
perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Isu yang timbul pada masa kini ialah perebutan kuasa
untuk memerintah negara. Setiap parti kompenan masing-masing saling bersaing
untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan rakyat melalui pelbagai cara. Ada
yang menggunakan isu perkauman, isu agama, isu kleptokrasi dan sebagainya demi
mencapai matlamat untuk menjadi pemerintah di negara ini. Persaingan yang
semakin tidak terkawal ini boleh menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat
majmuk dan melemahkan ekonomi negara dan seterusnya boleh mengancam keselamatan
dan kedaulatan negara ini sendiri. Oleh yang demikian, sekiranya perkara ini
tidak dapat dikawal terutama dikalangan ahli-ahli politik, tidak mustahil
negara yang merdeka ini sekali lagi akan runtuh di tangan rakyatnya sendiri.
B. Nilai positif
i) Taat dan hormat pada orang tua.
Belalang
merupakan anak kepada Pak Belalang. Belalang seorang anak yang rajin bekerja
dan taat kepada bapanya. Belalang sangat patuh pada bapanya dan tidak pernah
membantah apa yang disuruh bapanya. Belalang seorang anak yang menghormati
bapanya kerana tidak pernah merungut dan melawan bapanya walaupun bapanya
seorang yang pemalas dan tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh, Belalang
membuatkan kopi untuk bapanya apabila
disuruh tanpa membantah sedangkan dia
mengetahui serbuk kopi sudah tiada di rumah.
Dalam
kehidupan masyarakat pada hari ini, sikap taat dan hormat pada ibu bapa semakin
pudar. Ini mungkin disebabkan kesibukan ibu bapa yang bekerja sehingga masa untuk
bersama anak-anak sangat kurang. Sejak dari kecil lagi anak-anak dihantar ke
rumah pengasuh ataupun pusat jagaan kanak-kanak. Anak-anak mula membesar tanpa
didikan dan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa menyebabkan mereka mula
hilang rasa hormat dan patuh kepada orang tuanya.
ii) Amanah dan jujur
Walaupun Pak Belalang seorang ahli nujum negara, tetapi
hakikat sebenarnya beliau hanyalah berpura-pura sahaja dan sentiasa bernasib
baik dapat melepaskan diri dari masalahnya. Pak Belalang sentiasa berjaya
menyelesaikan setiap masalah yang berlaku di kampungnya terutama masalah yang berlaku di dalam istana. Pengajaran
penting yang dapat diambil ialah walaupun sikap kepura-puraan Pak Belalang
dalam menujum, namun beliau tidak mengambil kesempatan terhadap orang lain.
Beliau bersikap amanah dan jujur dengan mengembalikan semula harta yang hilang.
Beliau tidak menghararapkan apa-apa balasan dan tidak meminta upah apabila
melakukan pekerjaan itu. Dengan sikap keikhlasan beliau, tanpa di sangka beliau
telah di lantik sebagai Ahli Nujum Negara Beringin Rendang oleh Sultan Shahrul
Nizam.
Sikap amanah dan jujur merupakan sikap yang mulia yang
perlu ada dalam setiap anggota masyarakat. Namun kini, ianya semakin terhakis
apabila masyarakat terlalu mengejar kebendaan dan kemewahan sehingga
mengabaikan nilai-nilai murni dalam setiap pekerjaan dan urusan mereka. Sebagai
contoh, dalam bab jual beli, ada sebilangan peniaga yang mengurangkan berat
timbangan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih. Ini adalah sikap yang tidak
jujur kerana menipu dalam urusan jual beli. Namun demikian, masih ramai lagi
masyarakat kita yang bersikap amanah dan jujur kerana berpegang teguh dengan
ajaran agama. Berteraskan nilai yang mulia ini, maka akan lahirnya kepercayaan
dikalangan anggota masyarakat dan mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan
harmoni.
iii) Berdikari dan
rajin bekerja
Watak Belalang dalam filem Nujum Pak Belalang adalah
seorang kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 10 tahun. Belalang merupakan
anak kepada Pak Belalang. Belalang adalah seorang kanak-kanak yang rajin berdikari untuk mencari rezki bagi
menyara kehidupan mereka berdua. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh Belalang
ialah bekerja di ladang, memanjat pokok kelapa, mencuci perahu, menyapu
halaman, mengangkut air dan lain-lain lagi. Sikap berdikari Belalang ini dapat
membantu keluarganya untuk menjalani kehidupan pada zaman tersebut.
Dalam era moden ini, semua kanak-kanak diwajibkan untuk
belajar di sekolah. Setiap daripada mereka perlu mengikuti alam persekolahan
bermula daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah dan seterusnya
ke peringkat universiti. Kebanyakan kanak-kanak di negara kita khususnya
membesar dalam keadaan yang serba cukup dan selesa. Tambahan pula, kerajaan
banyak memberi bantuan kepada murid-murid yang miskin sama ada bantuan awal
persekolahan, bantuan kumpulan wang amanah pelajar miskin (kwapm) dan
sebagainya. Bagi ketua isi rumah yang berkelayakan pula, mereka juga mendapat
bantuan daripada kerajaan seperti bantuan sara hidup, bantuan rumah mesra
rakyat dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian itu, masyarakat pada hari ini
dilihat kurang berdikari kerana banyak bergantung kepada kerajaan.
5.0 KESIMPULAN
Filem Nujum Pak Belalang banyak menyelitkan unsur nasihat, sindiran,
dan kritikan masyarakat sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Secara
tersurat kita dapat melihat sikap masyarakat melayu yang terlalu taksub kepada
dukun atau bomoh sehingga ke tahap mempertaruhkan negara kerana kepercayaan
yang tinggi terhadap amalan ini. Sikap masyarakat yang jahil pada zaman
tersebut menyebabkan mereka menerima buat-bulat apa yang diberitahu oleh dukun
ataupun ahli nujum. Ini menjadi pengajaran kepada kita pada hari ini supaya
tidak mudah terpengaruh dengan tipu daya yang dilakukan oleh individu tidak
bertanggungjawab.
Antara pengajaran yang tersirat yang boleh diambil daripada filem
ini ialah sebahagian besar masyarakat kita adalah mereka yang pemalas tetapi
mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi. Jika kita perhatikan secara
keseluruhan cerita dalam filem ini, Pak Belalang yang pemalas berjaya menjadi
Ahli Nujum Negara dan akhirnya berjaya berkahwin dengan Puteri Sultan tanpa
berusaha atau bersusah payah. Di sini dapatlah kita rumuskan bahawa sebahagian
besar dalam masyarakat kita yang mahu menjadi kaya dan ternama, tetapi malas
berusaha atau bekerja keras.
Selain itu, kita dapat memerhatikan bahawa terdapat bebarapa sumbangan
dan pencapaian tamadun melayu pada ketika itu seperti dalam bidang pertahanan
atau ketenteraan, dalam bidang penulisan dan juga dalam bidang kesenian. Pencapaian ketamadunan ini mencerminkan
ketinggian nilai jati diri dan identiti bangsa melayu. Filem
ini banyak memaparkan nilai-nilai jati diri yang ada dalam jiwa masyarakat pada
ketika itu seperti kerjasama yang erat dikalangan anggota masyarakat, kepatuhan
terhadap Sultan yang memerintah, masyarakat yang sopan santun dan saling
hormat-menghormati. Pembentukan nilai jati diri dalam masyarakat melayu ketika
itu merupakan sebagai agen sosiolisasi utama dalam pembinaan ketamadunan
bangsa.
RUJUKAN
Abdul Aziz Deraman. (2003). Masyarakat dan Kebudayaan
Malaysia: Suatu analisis perkembangan kebudayaan di Malaysia. Edisi baharu.
Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Anas. (1982). Sastera Melayu lama dan baru.
Petaling Jaya, Malaysia : International Book Service.
Ghazali Darusalam. (2019). MPU 3323 Tamadun Islam dan Tamadun Asia
:Open Universiti Malaysia. Kuala Lumpur.
Norsuhaila Ibrahim. Alat Muzik
Masyarakat Melayu. Sumber daripada http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=14152
Perdana Menteri Malaysia. (2020). Sumber
daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Perdana_Menteri_Malaysia
Gotong-royong di Malaysia. (2017).
Sumber daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Gotong-royong_di_Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan